Apakah punca dan tanda-tanda jika mengalami simptom angin pasang? Artikel ini akan membincangkan punca kenapa anda mengalami masalah ini, simptom, rawatan dan pencegahan yang anda boleh lakukan
Angin pasang atau hernia ialah suatu keadaan bonjolan organ yang terkeluar daripada tempat asalnya disebabkan oleh kelemahan dinding otot atau tisu yang ‘memegangnya’. Lazimnya, angin pasang merujuk kepada organ di bahagian perut seperti usus besar, usus kecil dan lapisan lemak omentum yang terkeluar ke bahagian lain.
Kebanyakan angin pasang berlaku di bahagian perut tetapi ia juga boleh terjadi di bahagian paha dan pangkal dada. Walaupun ia bukanlah keadaan yang boleh mengancam nyawa, tetapi angin pasang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit. Selain itu, angin pasang yang mengganggu aktiviti seharian pesakit perlu di rawat melalui pembedahan bagi mencegah komplikasi merbahaya seperti jangkitan kuman. Artikel ini akan membincangkan punca, rawatan serta pencegahan bagi penyakit angin pasang.
Punca Angin Pasang
Amnya, masalah ini berlaku disebabkan oleh tekanan berlebihan di bahagian otot perut serta ketegangan otot. Bergantung kepada puncanya, saiz angin pasang atau bonjolan boleh menjadi besar dengan cepat ataupun boleh mengambil masa yang agak lama.
Faktor Risiko
Beberapa punca yang boleh menyebabkan tekanan di otot perut serta kelemahan otot ialah:
Masalah kongenital (dari kecil) yang berlaku semasa perkembangan dalam rahim dan wujud sejak lahir
Penuaan
Trauma
Komplikasi pembedahan
Batuk berpanjangan
Mengangkat berat atau barang berat
Kehamilan, terutamanya jika hamil anak kembar
Sembelit yang berpanjangan
Berat badan berlebihan atau obes
Perut kembung (ascites)
Selain itu, terdapat juga perkara yang dapat meningkatkan risiko seseorang menghidap masalah ini seperti:
Sejarah angin pasang peribadi atau dalam keluarga
Merokok
Penyakit cystic fibrosis (kelemahan tisu penghubung yang berfungsi untuk ‘memegang’ organ di tempat asalnya)
Kelahiran pra matang
Lahir tidak cukup berat
Klasifikasi
Angin pasang boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu:
1. Angin pasang surut (reducible hernia)
Bonjolan yang boleh ditolak kembali ke dalam perut. Bonjolan juga mungkin berkurangan semasa posisi baring.
2. Angin pasang tidak surut (irreducbile hernia)
1. Hernia Inguinal
Hernia inguinal adalah jenis angin pasang yang paling biasa berlaku iaitu sebanyak 75% daripada semua kes hernia. Ia berlaku apabila usus membonjol keluar ke bahagian yang lemah atau bahagian yang terkoyak di dinding perut. Golongan lelaki lebih kerap mendapat hernia inguinal berbanding wanita.
Terdapat dua jenis inguinal hernia iaitu:
Bonjolan besar yang tidak dapat ditolak masuk ke dalam perut dengan sendiri. Hernia jenis ini selalunya memerlukan pembedahan sebagai rawatan.
Inguinal hernia langsung (direct)
Jenis masalah ini terjadi kepada golongan berumur disebabkan oleh kelemahan otot. Kelemahan otot ini akan menyebabkan organ dalam menonjol keluar ke bahagian lain.
Inguinal hernia tidak langsung (indirect)
Kerap terjadi kepada orang muda dan berlaku disebabkan oleh bonjolan terkeluar melalui saluran testis, selalunya semasa perkembangan di peringkat janin terdahulu.
2. Hernia Femoral
Hernia femoral berlaku apabila bonjolan tisu terkeluar di bahagian pangkal paha atau bahagian dalam paha. Ia seringkali disebabkan oleh berat badan berlebihan, terlalu banyak bersenam, batuk berpanjangan dan meneran secara berlebihan semasa membuang air besar. Hernia femoral ini biasanya terjadi kepada golongan wanita dan rawatannya juga adalah melalui pembedahan.
3. Hernia Umbilical
Hernia ini lazimnya terjadi kepada kanak-kanak dan bayi. Ia berlaku apabila usus atau lemak omentum menonjol keluar melalui dinding perut berhampiran dengan pusat mereka. Bonjolan tersebut mungkin kelihatan lebih ketara semasa mereka menangis. Hernia ini juga boleh menyebabkan kesakitan sekiranya terdapat halangan di usus. Pembedahan adalah rawatan pilihan. Selain itu, individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat hernia umbilikal.
4. Hernia Hirisan (Incisional)
Hernia hirisan adalah penonjolan kandungan perut yang berlaku di bahagian potongan ketika pembedahan dilakukan. Ia berlaku selepas pembedahan, dan merupakan komplikasi pembedahan perut yang sangat biasa, dengan data baru-baru ini melaporkan prevalens selepas 1 tahun ialah sebanyak 5.2% dan 2 tahun sekitar 25%. Potongan ini merupakan sejenis ‘trauma’ kepada bahagian kulit yang terjejas dan menyebabkan otot di bahagian yang terlibat ini menjadi sedikit lemah berbanding biasa. Pembedahan juga merupakan pilihan rawatan bagi hernia hirisan.
5. Hernia hiatal
Hernia hiatal berlaku apabila bahagian perut menonjol melalui diafragma ke rongga dada. Jenis hernia ini paling kerap berlaku pada individu berumur lebih dari 50 tahun. Sekiranya kanak-kanak mempunyai hernia hiatal, ini biasanya disebabkan oleh masalah kelahiran kongenital. Hernia hiatal selalu menyebabkan GERD, iaitu kandungan asid perut memasuki esofagus yang menyebabkan sensasi terbakar, pedih ulu hati dan masalah pencernaan.
6. Hernia spigelian
Hernia spigelian ialah hernia yang terjadi apabila kandungan di dalam perut terkeluar melalui fasia spigelian atau lapisan tisu yang memisahkan dua kumpulan otot di bahagian perut. Otot tersebut dikenali sebagai otot rektus dan serong lateral (lateral oblique muscles).
Tidak seperti kebanyakan hernia, hernia spigelian biasanya tidak menonjol di bawah lapisan lemak melainkan antara otot dan fasia. Walaupun hernia spigelian jarang berlaku, ia tetap boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Sebilangan orang, bagaimanapun, mempunyai risiko yang lebih tinggi seperti lelaki yang berumur 50 tahun ke atas.
Simptom Angin Pasang
Antara simptom-simptom hernia ialah:
Bengkak atau bonjolan di pangkal paha,skrotum atau perut
Sakit di tempat bonjolan
Sakit semasa mengangkat sesuatu
Peningkatan saiz bonjolan dari masa ke masa
Rasa kembung perut
Dalam kes hernia hiatal, tiada bonjolan yang t erkeluarr seperti hernia lain. Sebaliknya, ia menunjukkan simptom seperti pedih ulu hati, gangguan pencernaan, kesukaran menelan, regurgitasi yang kerap (makanan naik semula ke bahagian esofagus) dan sakit dada.
Penyakit Lain yang Berkaitan
Terdapat beberapa penyakit lain yang mempunyai simptom yang sama. Penyakit tersebut adalah:
Psoas abscess (nanah di bahagian otot perut yang dikenali sebagai psoas muscles)
Lymphadenitis
Femoral adenitis
Kanser
Epididymitis
Komplikasi
Kadang kala, angin pasang yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan:
Kesakitan terutamanya jika ia terbelit
Usus tersumbat
Jangkitan kuman
Jika simptom menjadi lebih teruk seperti rasa sakit yang kuat, bonjolan bertukar menjadi warna ungu atau gelap, demam, tidak dapat membuang angin serta air besar, maka eloklah pesakit mendapatkan rawatan dengan segera.
Ujian Pemeriksaan
Hernia boleh di diagnos secara klinikal iaitu melalui sejarah kesihatan pesakit serta pemeriksaan fizikal. Semasa pemeriksaan fizikal, doktor akan merasa bengkak di kawasan perut atau pangkal paha. Bonjolan ini boleh menjadi semakin jelas semasa pesakit berdiri, batuk, atau tegangkan otot.
Selain itu, ujian pengimejan juga dilakukan bagi membantu dalam diagnosis. Antaranya ialah seperti:
Ultrasound perut untuk melihat lokasi serta saiz hernia dengan lebih tepat. Bagi wanita, ia membantu untuk mencari penyebab kesakitan yang mungkin berkaitan dengan sistem reproduktif seperti cyst ovari dan fibroid. Bagi golongan lelaki pula, ultrasound membantu untuk menilai jenis hernia inguinal terutamanya jika melibatkan hernia yang membonjol ke bahagian skrotum.
CT Scan dan MRI bagi melihat kondisi hernia dengan lebih jelas.
Rawatan
Rawatan bergantung kepada jenis angin pasang, keadaannya samada boleh surut atau tidak, serta jika angin pasang terbelit.
Amnya jika masalah angin pasang tidak membonjol dengan ketara atau tidak mengganggu aktiviti seharian, maka pesakit akan diberikan rawatan secara pemantauan. Pesakit dinasihatkan untuk mengurangkan perkara yang boleh menyebabkan angin pasang menjadi teruk seperti:
Tidak mengangkat benda berat dalam satu masa
Kurangkan berat badan berlebihan
Ambil rawatan yang sepatutnya jika mempunyai batuk berterusan
Lakukan pemeriksaan secara berkala
Memakai bengkung hernia yang menyokong serta menjaga bonjolan daripada terkeluar.
Ubat antacid untuk merawat masalah pencernaan hernia hiatal
Sekiranya saiz bonjolan angin pasang bertambah besar atau menyebabkan kesakitan, pembedahan mungkin menjadi pilihan untuk memperbaiki angin pasang. Pembedahan angin pasang selalunya melibatkan penggunaan jaring (mesh) iaitu alat yang menyokong bonjolan secara sementara atau kekal.
Doktor meletakkan jaring di seluruh kawasan sekitar angin pasang dan memasangnya dengan jahitan, staples atau lem. Pori di mesh membolehkan tisu tumbuh dengan baik. Terdapat 2 jenis pembedahan bagi memperbaiki angin pasang iaitu:
1. Pembedahan
Satu potongan di bahagian angin pasang dilakukan untuk menolak masuk bonjolan ke tempat asalnya. Kemudian, mesh akan ditampal bagi menguatkan kawasan pembedahan tersebut supaya komplikasi hernia hirisan dapat dielakkan.
2. Laparoskopi
Pembedahan laparoskopi ialah prosedur yang menggunakan kamera kecil dan peralatan pembedahan mini untuk memperbaiki angin pasang dengan melalui pembukaan kecil. Ia dapat mengurangkan komplikasi seperti tisu rosak serta mengurangkan parut selepas pembedahan.
3. Penggunaan Tali Pinggang Hernia
Penggunaan tali pinggang ini dapat mengelakkan isi dari dalam abdomen keluar daripada abdomen. Ini dapat mengelakkan daripada masalah usus tersumbat ataupun usus tersimpul di dalam ruangan angin pasang.
Boleh dapatkan Tali Pinggang Hernia di SINI
Pencegahan
Angin pasang merupakan penyakit yang dapat dicegah dengan cara:
Kekalkan berat badan yang ideal dengan makan makanan yang sihat dan bersenam
Makan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang kaya dengan serat untuk mengelakkan sembelit
Amalkan posisi badan yang betul semasa mengangkat berat atau benda berat Elakkan mengangkat sesuatu yang di luar kemampuan anda
Berjumpa doktor apabila mempunyai batuk atau bersin yang berterusan
Jangan merokok, kerana merokok boleh menyebabkan batuk yang mencetuskan angin pasang
Artikel Berkaitan: Makanan untuk elakkan Sembelit
Rujukan:
Gunarasa, S., Dr. (2021, January 11). Apakah itu Hernia (Angin Pasang) ? Apakah Itu Hernia (Angin Pasang) ? Retrieved January 27, 2021, from Hospital Pantai
Wint, C., & Gonzalez, A., MD. (2018, November 8). Everything You Want to Know About a Hernia. Retrieved January 27, 2021, from Healthline
Brooks, D. C., MD. (n.d.). Overview of abdominal wall hernias in adults. Overview of Abdominal Wall Hernias in Adults. Retrieved June 22, 2020, from Uptodate
Incisional Hernia – Risk Factors – Clinical Features. (2019, January 08). Retrieved January 27, 2021, from Teach Me Surgery
Hernia: Causes, treatments, and diagnosis. (n.d.). Retrieved January 27, 2021, from Medical News Today
Alhamdulillah, artikel yang lengkap dan bermenafaat untuk semua.